Novel Kasih Kharsani

Hancur luluh hati Eileen sejak kejadian yang tidak dijangkakan itu. Rahsia tersebut terkunci kemas didadanya, tidak diceritakan kepada sesiapapun. Peristiwa itu makin meremukkan jiwa nurani Eileen yang selama ini pernah berharap agar suatu hari papanya akan kembali pada keluarga.
Perbualan chatting bersama mamanya beberapa hari yang lepas kembali muncul dalam kotak fikirannya.
Mama,seriously... I really hate papa!!
Sudahlah Eileen. Mama tak mahu Eileen dendam-dendam dengan papa lagi. Mungkin papa ada alasan dia sendiri. Ataupun papa dalam kesusahan ke… tidak dapat cari kita ke….,” pujuk Rozieta dalam ruangan chatting YM  bersama Eileen
 Entah mengapa tiba-tiba perkara itu yang dibangkitkan oleh Eileen.
Kenapa mama nak backing sangat papa tu? Kenapa mama boleh buat macam biasa je dan tanggung semua ni sorang-sorang? Papa dah tinggalkan kita semua, nafkah untuk anak-anak pun tak pernah sekali dia bagi...!!
Bentak Eileen tidak puas hati.
Hatinya meluap-luap menahan amarah. Jiwanya sakit bukan kepalang. Jika tidak kerana peristiwa pedih itu, dia tidak akan sebegini marah.
Mama anggap semua itu suratan taqdir, ujian dari Allah untuk mama. Kan sekarang kita dah mampu, mama mampu tanggung semua anak-anak mama, mampu hantar Eileen belajar ke oversea guna duit hasil titik peluh mama... kita kan bahagia dengan hidup kita sekarang,  pujukan Rozieta makin sayu.
Sebolehnya dia tidak mahu Eileen terganggu emosinya. Sejak sembilan tahun lalu, tugas Rozieta adalah memberikan kekuatan demi kekuatan kepada anak-anaknya.
Dia juga sudah  lali dia dengan soalan anak-anaknya yang bertanyakan “di mana papa? Bila papa nak balik? Kenapa papa tak datang masa kami dapat hadiah di sekolah?”.
Rozieta tidak mahu anaknya dibesarkan dengan jiwa dan emosi yang sarat dengan dendam dan haus kasih sayang. Biarlah dia sahaja yang bermandikan duka dan airmata, namun tidak sekali-kali rela melihat anaknya menitiskan airmata kerana kurangnya kasih sayang dan perhatian.
Papa manusia yang paling kejam atas muka bumi ini. Eileen benci ada papa yang macam dia..!!” Bentak Eileen menutup bicara pada malam itu. Berjurai-jurai airmatanya menuruni pipi. Esakannya tidak dapat ditahan lagi.
Mama tak tahu apa yang Eileen nampak. Mama tak tahu betapa hancurnya hati Eileen. Jika mama tahu, pasti mama juga akan menangis…, bisik hati Eileen sendirian melayan dukanya.
Biarlah dia seorang yang tahu perkara itu. Tiada siapa yang perlu tahu akan rahsia tersebut!! Peristiwa terserempak dengan papanya di gedung membeli belah St David’s Dewi Sant pada petang semalam masih bermain-main di ruang matanya. Sejak itu hatinya terdera, sakit dan penuh dengan dendam.
Ketika itu dia baru sahaja meraikan sempena tamat peperiksaan semester akhir. Tambah menyeronokkan, musim salji pun baru bermula. Suasana dingin dan sejuk bedi menghiasi seluruh Cardiff, bandaraya yang sangat tenang dan damai.
Eileen dan enam orang sahabatnya mengambil kesempatan untuk berseronok dan berjalan-jalan menghilangkan tekanan. Eileen tertawa keriangan bersama teman-teman, bergurau senda sambil mengambil foto tidak kira tempat. Jikalau boleh, seluruh kawasan itu ingin dibadikan kenangannya dalam sebuah album.
Dari Museum Ave mereka kemudiannya berjalan kaki menyelusuri Gorsedd Gardens Rd. Rimbunan pepohon hijau yang merimbun di sepanjang jalan menghadiahkan ketenangan buat semua yang melaluinya. Salji putih membasahi bumi Cardiff dengan tanpa henti. Seluruh jalanraya dan permukaan bumi berwarna putih bersih seperi kapas.
Setelah berjalan kaki lebih kurang dua puluh minit, rombongan Eileen dan teman-temannya tiba di hadapan pusat membeli belah yang terbesar di bandaraya Cardiff, St David’s Dewi Sant.
Pusat membeli belah yang berdiri gah dengan warna merah terang itu memang unik dan ekslusif. Besarnya sama dengan Millenium Stadium yang terletak bersebelahan dengannya. Layaklah ia dikagumi sementelah untuk perancangannya sahaja memakan masa selama sepuluh tahun, dan siap dibina dalam tempoh tiga tahun. Tidak hairanlah bangunan ini menjadi kebanggaan dan simbolik penting di Eropah.
Ketika sedang melalui deretan kedai mewah yang berkelip-kelip, langkah kaki Eileen terpaku seketika. Sebuah keluarga Melayu berjalan melintasinya. Eileen bukanlah terpaku kerana melihat warga Malaysia di pusat membeli belah terbesar di UK itu, tetapi kerana raut wajah yang sudah begitu lama tidak dilihat itu muncul kembali.
Zupp!!!…,” jantung Eileen berdetak laju luar biasa. Perasaannya berbaur seribu macam rasa. Resah dan gelisah.
Eileen tidak berpuas hati. Apakah benar lelaki itu yang dicarinya selama ini? Wajah lelaki itu saling tidak tumpah dengan papanya. Eileen berteka-teki sambil bergegas memanjangkan langkah, tidak mahu kehilangan jejak.
Perlahan-lahan Eileen menyusup-nyusup dari belakang sambil mengekori keluarga bahagia itu. Lagaknya seperti spy jelita dalam filem “James Bond”. Diamatinya lelaki yang berjalan mesra dengan isteri gemuk dan empat orang anak lelaki berusia diantara lima hingga sebelas tahun. Eileen yakin dia tidak salah orang. Eileen yakin itulah wajah yang dilihat kali terakhir pada usianya empat belas tahun.
Keluarga itu kemudiannya memasuki kedai barangan penjagaan diri Body Shop. Kesemua anak-anaknya menjinjit beg shopping masing-masing. Si isteri yang gemuk gedempol dengan rambut perang seakan warna penyapu sedang sibuk memilih produk yang bersusun diatas rak.
Lepas satu-satu produk dicubanya kemudian diletakkan kembali dengan muka cerewet. Galak anak mata Eileen memerhati suasana. Tidak dipedulikan kawan-kawan yang telah berjalan jauh meninggalkannya. Apa yang pasti, Eileen ingin mengesahkan bahawa lelaki itu memang pernah dikenalinya suatu ketika dulu.
Eileen mengintai-ngintai dari rak yang bersusun tinggi dengan botol minyak wangi, terlindung beberapa meter dari sasarannya.
Terkedip-kedip matanya menyaksikan senario anak beranak dihadapannya itu. Sesekali keningnya berkerut-kerut memikirkan sesuatu. Sedang Eileen leka memerhati keadaan, lelaki yang sibuk melayan anak isterinya itu tiba-tiba berpaling memandangnya. Mungkin sejak dari tadi kelibat Eileen mencurigakannya, terhendap-hendap seperti ejen FBI.
Dua anak mata mereka bertembung. Eileen terkejut dan terpaku!! Matanya membulat, tidak berkedip memandang lelaki yang sedang bertentang mata dengannya.
Degup jantung Eileen terhenti beberapa saat!!
Sah…!!! Memang sah!,” hati Eileen merengus kasar. Dadanya turun naik menahan marah.
Eileen yakin, lelaki itulah papanya yang hilang selama ini. Seorang suami yang tidak bertanggungjawab, seorang ayah yang gagal melaksanakan amanahnya. Dia dan adik-adiknya hidup terkontang-kanting tanpa belaian hangat seorang ayah. Eileen masih tidak lupa akan wajah itu.
Walaupun penampilan papanya sedikit berubah, dengan janggut dan rambut yang makin menipis, namun Eileen yakin itulah papanya!
Dada Eileen berombak makin kencang. Jantungnya mengepam darah dengan lebih laju. Panas hatinya tidak terkira. Dia tidak menyangka akan bertemu kembali dengan papanya dalam keadaan yang sangat mengguris jiwa. Persoalannya selama ini terjawab sudah!
Papa masih hidup rupanya, dan sedang berbahagia dengan keluarga baru. Papa kejam…!!!” Jerit batin Eileen sambil berlari laju meninggalkan kedai Body Shop dan terus berlari meninggalkan ruang lobi St David’s Mall. Dia ingin lari sejauh yang mungkin dari peristiwa yang menyesakkan nafasnya itu.
Airmata Eileen mengalir laju di pipi. Tidak dipedulikan pandangan mata orang ramai yang memerhatikan gelagatnya. Udara yang dingin di tengah bandaraya Cardiff tidak mampu menyejukkan hatinya.
Langkah Eileen makin lemah, perlahan-lahan dia menyelusuri kaki lima jalanraya menuju ke Bute Park, taman rekreasi yang terletak 500 meter dari pusat membeli belah. Eileen melabuhkan punggungnya diatas kerusi kayu yang berhadapan dengan sebuah tasik. Badannya mula bergetar-getar menahan tangis.  Dua ulas bibirnya menjadi pucat lesi.
Dia tidak menyangka, penantian dan harapannya selama sembilan tahun terjawab dengan kenyataan yang begitu menyakitkan. Perasaan marahnya tiba-tiba bertukar hiba.
Papa berbahagia di atas derita dan kesedihan mama serta adik-adik... sampai hati papa.., lirih Eileen kesedihan sambil ditendang-tendangnya salji yang menebal di bawah telapak kasut. Hatinya sebal tidak terkira. Akhirnya Eileen melepaskan tangis sepuas-puasnya.
Luka dijiwanya makin menanah, mencucuk-cucuk sakitnya hingga ke lubuk hati yang paling dalam.
 Hati mama pasti akan lebih terluka jika mama melihat betapa cinta papa berpindah kepada wanita lain, Eileen cuba menyelami betapa hancur luluh hati mamanya andai dikhabarkan berita pertemuan ini.
Jika ingin dibandingkan, mamanya seribu kali lebih cantik dan jelita dari isteri baru papanya yang gemuk dengan lemak berlipat di perut.
Eileen tidak habis fikir, mengapa papanya memilih wanita gemuk itu menggantikan posisi mamanya.
“Dimana kurangnya mama yang cantik jelita dan lemah lembut….Mama baik hati..mama berilmu agama, mama isteri solehah!
Ramai lelaki-lelaki lain yang tergila-gilakan cinta mama, tapi mama tetap setia menunggu papa. Apa salah mama sehingga papa beralih hati? Apa alasan papa meninggalkan mamanya yang begitu sempurna?”
Hatinya bermain teka-teki yang tiada jawapan. Persoalan baru yang perlu dicari jawapannya!


Dapatkan buku stanza cinta